Monday, January 24, 2011

Amalan Wakaf Menjana Kemajuan Ummah

Oleh: Mohd Rumaizuddin Ghazali

Amalan wakaf memainkan peranan penting dalam membangunkan agama, masyarakat dan negara. Dalam rangka pembangunan ekonomi ummah, Islam mengemukakan pendekatan yang bersepadu dan proaktif di antara lain mengemukakan ibadat wakaf. Bahkan wakaf ini diinstitusikan untuk menyusun masyarakat dan telah terbukti melalui sejarah betapa institusi ini berperanan penting dalam membangun kekuatan dan kesejahteraan umat Islam sejak berzaman.

Muhammad Abu Zahrah dalam bukunya Muhadarat fi al-Waqf ( Perbahasan Mengenai Wakaf) menyebutkan bahawa pembinaan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa adalah sebahagian daripada usaha kerja amal wakaf yang pernah berlaku dalam sejarah manusia. Sifat naluri manusia juga mahu memberi sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain selepas ia meninggal dunia.

Oleh itu, agama Islam menggalakkan umatnya melakukan amalan wakaf supaya pahala tersebut akan berterusan walaupun ia telah meninggal dunia selagi mana harta wakaf itu digunakan untuk kepentingan umum.

Rasulullah merupakan orang yang pertama mewakafkan hartanya selepas peperangan Uhud apabila baginda mewakafkan harta yang diberikan oleh sahabat yang bernama Mukhairiq daripada hasil habuan perang. Kemudian perkara tersebut diikuti oleh para sahabat seperti Umar bin al-Khatab.

Amalan tersebut terus subur dalam masyarakat Islam sehingga kini. Begitu juga, pembinaan Masjid al-Nabawi adalah hasil daripada harta wakaf. Amalan jariah mendirikan bangunan masjid tersebut menjadi amalan keseluruhan umat Islam. Antara masjid-masjid yang masyhur adalah masjid al-Azhar,Masjid al-Husain di Mesir, Masjid Umawi di Syria dan Masjid al-Qairawan di Tunis. Di Malaysia, amalan tersebut bermula sejak kurun ke 15, apabila Islam mula bertapak di sini dengan pembinaan masjid di seluruh Tanah Melayu.

Wakaf merupakan sebahagian daripada bentuk amal jariah yang ganjaran pahalanya akan terus menerus berlaku hingga wakafnya berakhir atau musnah, walaupun pewakaf itu telah meninggal dunia. Hukum mewakafkan harta adalah sunat kerana ia merupakan perbuatan yang baik daripada kerja kebajikan yang sangat dituntut.Abu Hurairah telah menjelaskan bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud :

“ Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaat dengannya atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.” (riwayat Muslim).

Imam al-Rafi’i menjelaskan perkataan bersedekah jariah dalam hadith tersebut dengan maksud wakaf kerana pahala sedekah jariah wakaf terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain pahala tidak berpanjangan mengalir seperti wakaf.

Antara tujuan wakaf adalah untuk mendekatkan seorang hamba dengan Allah. Oleh itu, wakaf hanya dibolehkan kepada perkara kepentingan umum umat Islam dan bukan kepada tempat ibadat orang-orang kafir, atau disalurkan ke dalam aktiviti yang haram atau maksiat atau yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Muhammad Abu Zahrah menyatakan amalan wakaf tidak terhad kepada pembinaan masjid, bahkan merangkumi semua bentuk amalan yang berlaku pada sedekah seperti amalan mewakafkan harta benda, tanah, wang sewaan tanah, pembinaan hospital, rumah-rumah anak yatim dan fakir miskin.

Salah satu contoh harta wakaf umat Islam yang kekal sehingga kini ialah pembinaan Universiti al-Azhar semenjak 1000 tahun lalu. Sehingga kini pembiayaan dikendalikan daripada harta wakaf yang memberi khidmat percuma pengajian kepada pelajar Islam dari seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.