Friday, November 4, 2011
Sanggupkah Kita Berkorban????
Pertama sekali marilah kita merafak kesyukuran kepada Allah S.W.T di atas segala nikmat dan limpah rahmatNya kepada kita sehinggakan kita masih lagi diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan ini dengan suasana yang aman dan damai. Sewajarnya juga kita mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T dengan melakukan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangaNya. Mudah-mudahan kita memperolehi ganjaran kesejahteraan di dunia dan di akhirat InsyAllah…
Sedar tidak sedar kita telahpun memasuki bulan Zulhijjah dan meninggalkan bulan Zulkaedah yang mana bulan Zulhijjah ini telah memahatkan sejarah agung pengorbanan kisah para nabi dan rasul. Sebagai permulaan saya bawakan satu hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Abi Qatadah RA, Nabi Muhamad S.A.W bersabda yang bermaksud :
“ Puasa hari Arafah menebus dosa dua tahun, setahun sebelumnya dan satahun
selepasnya. Dan puasa Asyura’ itu pula menebus dosa satahun sebelumnya”
InsyAllah tidak lama lagi kita akan menyambut 10 zulhijjah iaini hari raya Eiduladha, ianya juga dipanggil hari raya hají ataupun hari raya Qurban dan ada sesetengah tempat dipanggil hari raya besar. Sejajar dengan itu saya mengajak diri saya serta Tuan-tuan Dan puan-puan marilah kita mengambil kesempatan ini untuk menambah amal Ibadah kita dengan berpuasa pada hari Arafah iaini pada 9 Zulhijjah, semoga kita mendapat ganjaran daripada Allah S.W.T.
Hari raya Eiduladha merupakan hari kebesaran umat Islam yang dianugerahkan kepada kita. Allah mengharamkan kita berpuasa pada 10 Zulhijjah dan pada hari-hari tasrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah dan pada hari raya ini juga kita bertakbir raya bermula pada pada 9 Zulhijjah sehinggalah ke 13 Zulhijjah (bagi yang tidak menunaikan haji) berbanding dengan hari raya Eidulfitri yang mana kita bertakbir raya bermula dari terbenamnya matahari sehari sebelumya sehinggalah khatib selesai membaca khutbah pada hari raya. Ini lah kebesaran hari raya Eiduladha yang mana pada masa yang sama jutaan umat Islam berhimpun di bumi Arafah, melontar di Mina, bertawaf di Masjidilharam, bersaie dari bukit Sarfa ke bukit Marwah dalam rangka mentauhidkan Allah Yang Maha Esa.
“ HambaMu telah datang menyahut panggilanMu, Ya Allah, HambaMu datang
menyambut panggilanMu, Sesungguhnya segala pujian dan nikmat dan kerajaan
adala milik Mu, tiada sekutu bagi Mu”
Selain daripada itu pada hari raya Eiduladha ini juga Allah telah mensyariatkan kepada kita untuk menyembelih binatang peliharaan untuk dikorbankan, hukum menyembelih binatang untuk dikorbankan adalah sunat muakad iaini sunat yang amat-amat dituntut dan hampir kepada wajib bagi mereka yang bekemampuan. Sejarah juga telah mencatatkan kisah pengorbanan agong yang terjadi di dalam keluarga Nabi Allah Ibrahim AS di dalam mentaati perintah Allah S.W.T. Saya bawakan satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi yang bermaksud :
Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata: Suatu hari sahabat Rasulullah s.a.w. bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu?'' Jawab Rasulullah: "Ia adalah sunah bapa kamu, Ibrahim.'' Mereka berkata: "Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah?'' Rasulullah menjawab: "Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.'' Mereka berkata: "Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?'' Rasulullah s.a.w. menjawab: "Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.''
Dan satu hadis lagi yang diriwayatkan oleh Imam Al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Al-Hakim yang bermaksud :
“ Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya korban yang lebih disukai Allah dari mengalir darah (yakni menyembelih korban). Sesunggunya ia datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tamduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya (dan diletakan di atas timbangan). Dan sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di satu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi. Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berkorban itu”
Sekarang mari kita singkap sejarah pengorbanan agung yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim AS sekeluarga bermula dengan perintah Allah S.W.T yang memerintahkan Nabi Allah Ibrahim AS meninggalkan isterinya Siti Hajar beserta anaknya Ismail AS di sebuah lembah padang pasir yang gersang yang kini di namakan Mekah dan meninggalkanya lalu pulang kembali ke Palestin untuk berdakwah. Ini lah saat pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS apabila diperintahkan untuk meninggalkan anak dan isterinya di sebuah padang pasir yang gersang bagi mentaati perintah Allah S.W.T. Mari kita bayangkan bagaimana mungkin setelah bergitu lama Nabi Ibrahim tidak mempunyai anak dan kini Allah telah mengurniakan anak kepadanya dan dalam masa yang sama terpaksa meninggalkan anak dan isterinya di padang pasir yang gersang. Sejarah juga terpahat sekali lagi apabila anak nabi Ibrahim AS iaini Nabi Ismail AS kehausan dan dalam masa yang sama air simpanan telah kehabisan lalu Siti Hajar berlari mencari air di sekitar kawasan tersebut untuk diberikan kepada anaknya tetapi tidak dijumpai. Setelah daripada itu dengan kekuasaan Allah S.W.T terpancutlah air dari celah kaki Nabi Allah Ismail AS dengan banyaknya dan mereka berdua meminumnya dengan sepuas puasnya. Inilah air yang diberi nama air Zam Zam kerana mengikut sesetengah riwayat mengatakan ketika mana air tersebut terpancut keluar ianya mengelurkan bunyi ZamZamah. Kisah ini juga memaparkan bagaimana ketaatan seorang isteri dalam mentaati perintah Allah S.W.T tampa kompromi sedikit pun yang mana Siti Hajar menanyakan kepada Nabi Ibrahim kenapa Baginda meninggalkan mereka berdua di satu kawasan yang gersang ini? Tetapi Nabi Ibrahim tidak menjawab di tanya lagi sebanyak 3 kali dan akhir sekali Siti Hajar menanyakan adakah ini perintah dari Allah S.W.T? barulah Nabi Ibrahim AS menjawab YA. Lalu Siti Hajar berkata “ sekiranya ini perintah dari Allah S.W.T maka aku akan mematuhiNya kerana sesungguhnya Allah S.W.T akan melindungi kami di sini”. Hebatnya keimanan Siti Hajar dalam mematuhi perintah Allah S.W.T walaupun ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim AS bersama anaknya yang masih kecil di kawasan yang tidak mempunyai apa-apa dan hebatnya Siti Hajar dalam meletakan keyakinan yang tinggi kepada Allah S.W.T sebagai satu-satunya tempat bergantung hidup untuk meneruskan kehidupan.
Sejarah pengorbanan agung terpahat sekali lagi apabila Nabi Allah Ibrahim AS diperintahkan oleh Allah S.W.T untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail AS dan kisah ini Allah S.W.T nukilkan di dalam Al-Quran di dalam ayat 102-107 surah As-Saaffat. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama – sama denganya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan ke padamu; insyAllah, ayah akan mendapat daku dari orang-orang yang sabar”. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: “ Wahai ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikian sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;
Lihatlah bertampa kentalnya keimanan seorang anak dalam mentaati perintah Allah tampa rasa muskil menyerahkan batang tubuh untuk dikorbankan oleh ayahnya dalam rangka mentaati perintah Allah S.W.T. Kita lihat pula bagaimana Siti Hajar seorang ibu yang Amat menyayangi anaknya dengan hati yang redha merelakan anaknya dikorbankan bagi mentaati perintah Allah S.W.T seperti mana Siti Hajar berkata kepada Iblis yang datang menghasutnya : “ Seseorang Nabi tidak pernah diperintahkan Allah dengan sesuatu yang bathil…bukan setakat anaku aku sanggup korbankan, malah nyawaku sendiri aku sanggup serahkan kepadaNya”.
MarsyaAllah…. Bergitu hebat keutuhan keimanan keluarga ini dalam mentaati perintah Allah S.W.T. Bayangkan lah perasaan seorang ayah yang terpaksa menyembelih anaknya sandiri, anaknya yang cukup disayangi. Bayangkan pula seorang ibu yang terpaksa merelakan anak yang dikandungnya di sembelih oleh suaminya sendiri, bayangkan seorang anak yang merelakan lehernya di serahkan kepada ayah nya sendiri untuk disembelih. Saya bawakan pula pesanan Nabi Ismail AS kepada ayahnya ketika mana tubuhnya diserahkan untuk dikorbankan ; “ Wahai ayah.. tolonglah ikatlah tangan saya supaya saya tidak bergerak gerak agar mudah urusan ayah menyembelih saya…Ayah hadapkanlah wajah saya ketanah, supaya ayah tidak melihat wajah saya yang nanti menyebabkan timbul perasaan belas kasihan ayah kepada saya…Ayah lipatkanlah kain ayah keatas supaya tidak terkena percikan darah walau sedikit, nanti ibu akan lebih bersedih melihatnya…Ayah tolonglah nanti bawakan baju saya kepada ibu sebagai pengubat rindu dan katakanlah kepada ibu “bersabarlah dengan perintah Allah”…Ayah tolonglah janganlah beritahu ibu bagaimana cara ayah menyembelih saya”. Akhirnya setelah Nabi Ismail menyerahkan tengkuknya dan Nabi Ibrahim meletakkan pisau ditengkuk anaknya...Allah telah menggantikan di tempat Nabi Ismail itu seekor binatang Syurga yang gemuk sebagai ganti Nabi Ismail AS.
Bertapa hebatnya pengorbanan ini, bertapa dasyatnya keimanan keluarga ini sebagai panduan umat selepasnya. Inilah contoh kecintaan kepada Allah S.W.T yang tidak terbelah bahagi yang tiada tandinganya. Bertapa hebatnya kecintaan mereka kepada Allah dalam mentaati perintahNya sebagai hamba yang diciptakan olehNya. Marilah kita merenung sejenap sejauh mana kecintaan kita kepda Allah?, sejauhmana ketaatan kita kepada Allah? sejauh mana pengabdian diri kita kepada Allah S.W.T?. Adakah kita sanggup bekorban meninggalkan segala kemaksiatan yang selama ini kita lakukan?, adakah kita sanggup bekorban untuk meninggalkan segala keseronokan dalam mengejar erti kepatuhan dan ketaatan kepada Allah S.W.T?. Kita nilai diri kita adakah kita pernah bekorban untuk keluarga kita?, adakah kita pernah bekorban untuk negara ini? dan adakah kita pernah bekorban untuk agama Islam yang suci ini? Kalau ada pun adakah memadai pengorbanan yang kita lakukan jika dibandingkan dengan nikmat dan kesenangan yang Allah kurniakan kepada kita.
Kisah pengorbanan keluarga Nabi Allah Ibrahim AS telah membuka mata hati kita bertapa kurdusnya pengorbanan itu, bertapa sucinya pengorbanan itu dan kisah pengorbanan ini juga telah membuka satu lembaran sejarah agung yang perlu dicontohi dan teladani oleh kita semua dalam rangka ketaatan dan kepatuhan kita kepada Allah S.W.T. Sanggupkah Kita Bekorban????
Sambutlah SALAM EIDUL ADHA 1431H dari Saya sekeluarga :
Ahmad Nasrul Hakim B. Hj. Saleh
Noorhayati Bt. Yakub
Ahmad Fateh Adam B. Ahmad NAsrul Hakim
Ahmad Farhan Aqil B. Ahmad Nasrul Hakim
Nur Farisya Alya Bt. Ahmad Nasrul Hakim
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.