Monday, January 24, 2011

Wakaf Masjid Daerah Penampang, Sabah



LATAR BELAKANG

Masjid merupakan satu anugerah dan satu institusi yang sinonim dengan umat Islam. Masjid adalah sebagai tempat beribadah dan berinteraksi khusus untuk umat Islam.

Daerah Penampang ialah jiran yang rapat dengan Bandar Raya Kota Kinabalu. Oleh yang demikian maka berlakulah kepesatan penambahan penduduk pelbagai kaum di daerah ini, khususnya yang beragama Islam. Di samping itu, penjawat awam, swasta dan para peniaga yang beragama Islam juga penyumbang kepada penambahan penduduk Islam yang ketara di daerah Penampang.

Hal demikian menjadi kepentingan dan keperluan asas bagi penduduk Islam di Penampang agar sebuah masjid dapat didirikan di kawasan ini dengan kadar yang segera. Dengan terdirinya sebuah Masjid di daerah ini, umat Islam dapat menunaikan Solat Jumaat di samping menunaikan fardhu kifayah yang lain seperti pengurusan jenazah, solat terawih dan yang berkaitan.

Selaras dengan tujuan ini, satu Jawatankuasa Wakaf Masjid Penampang telah ditubuhkan hasil idea pelbagai pihak dan diharapkan agar Jawatankuasa ini dapat menggembleng tenaga serta usaha agar satu kutipan dana diperoleh untuk merealisasikan pembinaan Masjid ini melalui sumbangan kerajaan, orang awam dan syarikat-syarikat korporat.


MATLAMAT

- Menyediakan tempat ibadat yang strategik untuk umat Islam
- Tempat umat Islam berkumpul untuk menjalankan aktiviti-aktiviti agama.
- Mewujudkan institusi pendidikan agama untuk keperluan generasi Islam di daerah Penampang dan kawasan sekitarnya.
- Menjadi pusat informasi Islam dan “One Stop Centre”
- Menyemarakkan syiar Islam di daerah Penampang.


MAKLUMAT TAPAK

Cadangan tapak bagi pembinaan Masjid Wakaf ini telah dikenalpasti berhampiran dengan Jalan Penampang Bypass. Tapak yang sesuai yang telah dikenalpasti merupakan milik individu yang telah bermurah hati untuk memindah milik tanah ini pada harga yang sangat rendah berbanding harga sebenar pasaran. Individu ini berhasrat untuk melihat terbinanya masjid ini bagi memenuhi tuntutan agama Islam di daerah ini. Kebenaran kutipan dana dari Jabatan Ketua Menteri juga telah diperoleh bagi tujuan ini.


TAWARAN HARGA TAPAK WAKAF

Jawatankuasa Wakaf Masjid Penampang telah bermesyuarat dan bersetuju untuk menetapkan harga bagi satu lot tapak wakaf bersamaan dengan satu kaki persegi bagi masjid ini seperti berikut:

1 Lot Tapak Wakaf bersamaan 1 kaki persegi bernilai RM100.00


KAEDAH SUMBANGAN

- Tunai / Cek
- Pemindahan wang bank
- Memasukkan terus ke akaun bank “Jawatankuasa Wakaf Masjid Penampang”

***Bagi tujuan pembelian tapak menggunakan Wang Pos/Cek/Akaun Bank Islam, sila bayar atas nama JAWATANKUASA WAKAF MASJID PENAMPANG dan faks salinan resit transaksi bank untuk rekod.

No Akaun Bank Islam : 10016010074517

Untuk maklumat lanjut sila ke laman http://wakafmasjidpenampang.blogspot.com/

Amalan Wakaf Menjana Kemajuan Ummah

Oleh: Mohd Rumaizuddin Ghazali

Amalan wakaf memainkan peranan penting dalam membangunkan agama, masyarakat dan negara. Dalam rangka pembangunan ekonomi ummah, Islam mengemukakan pendekatan yang bersepadu dan proaktif di antara lain mengemukakan ibadat wakaf. Bahkan wakaf ini diinstitusikan untuk menyusun masyarakat dan telah terbukti melalui sejarah betapa institusi ini berperanan penting dalam membangun kekuatan dan kesejahteraan umat Islam sejak berzaman.

Muhammad Abu Zahrah dalam bukunya Muhadarat fi al-Waqf ( Perbahasan Mengenai Wakaf) menyebutkan bahawa pembinaan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa adalah sebahagian daripada usaha kerja amal wakaf yang pernah berlaku dalam sejarah manusia. Sifat naluri manusia juga mahu memberi sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain selepas ia meninggal dunia.

Oleh itu, agama Islam menggalakkan umatnya melakukan amalan wakaf supaya pahala tersebut akan berterusan walaupun ia telah meninggal dunia selagi mana harta wakaf itu digunakan untuk kepentingan umum.

Rasulullah merupakan orang yang pertama mewakafkan hartanya selepas peperangan Uhud apabila baginda mewakafkan harta yang diberikan oleh sahabat yang bernama Mukhairiq daripada hasil habuan perang. Kemudian perkara tersebut diikuti oleh para sahabat seperti Umar bin al-Khatab.

Amalan tersebut terus subur dalam masyarakat Islam sehingga kini. Begitu juga, pembinaan Masjid al-Nabawi adalah hasil daripada harta wakaf. Amalan jariah mendirikan bangunan masjid tersebut menjadi amalan keseluruhan umat Islam. Antara masjid-masjid yang masyhur adalah masjid al-Azhar,Masjid al-Husain di Mesir, Masjid Umawi di Syria dan Masjid al-Qairawan di Tunis. Di Malaysia, amalan tersebut bermula sejak kurun ke 15, apabila Islam mula bertapak di sini dengan pembinaan masjid di seluruh Tanah Melayu.

Wakaf merupakan sebahagian daripada bentuk amal jariah yang ganjaran pahalanya akan terus menerus berlaku hingga wakafnya berakhir atau musnah, walaupun pewakaf itu telah meninggal dunia. Hukum mewakafkan harta adalah sunat kerana ia merupakan perbuatan yang baik daripada kerja kebajikan yang sangat dituntut.Abu Hurairah telah menjelaskan bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud :

“ Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaat dengannya atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.” (riwayat Muslim).

Imam al-Rafi’i menjelaskan perkataan bersedekah jariah dalam hadith tersebut dengan maksud wakaf kerana pahala sedekah jariah wakaf terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain pahala tidak berpanjangan mengalir seperti wakaf.

Antara tujuan wakaf adalah untuk mendekatkan seorang hamba dengan Allah. Oleh itu, wakaf hanya dibolehkan kepada perkara kepentingan umum umat Islam dan bukan kepada tempat ibadat orang-orang kafir, atau disalurkan ke dalam aktiviti yang haram atau maksiat atau yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Muhammad Abu Zahrah menyatakan amalan wakaf tidak terhad kepada pembinaan masjid, bahkan merangkumi semua bentuk amalan yang berlaku pada sedekah seperti amalan mewakafkan harta benda, tanah, wang sewaan tanah, pembinaan hospital, rumah-rumah anak yatim dan fakir miskin.

Salah satu contoh harta wakaf umat Islam yang kekal sehingga kini ialah pembinaan Universiti al-Azhar semenjak 1000 tahun lalu. Sehingga kini pembiayaan dikendalikan daripada harta wakaf yang memberi khidmat percuma pengajian kepada pelajar Islam dari seluruh dunia.